18 January 2010

Taman Meranti Bahau 10 Tahun Alami Tekanan Air Rendah

BAHAU – Beberapa penduduk di Taman Meranti menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berikutan masalah tekanan air yang dihadapi selama 10 tahun masih berlarutan sehingga kini.

Penduduk, Kee Kow Chai, 59, berkata, bekalan air yang dibekalkan di setiap rumah di taman tersebut amat rendah tekanannya.

Apabila tekanan air rendah, bekalan air yang diterima menjadi kurang dan kelajuan air rendah. Keadaan ini amat menyukarkan penduduk apabila menggunakan air yang banyak ketika masa kemuncak.

Contohnya ketika menggunakan air dalam satu masa seperti membasuh baju, mandi, dan membasuh kereta akan menyebabkan air yang diterima amat kurang," katanya.

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada tekanan air yang rendah dan bukan masalah paip tersumbat atau sebagainya.

Penduduk Taman Meranti, Lai Fook Siong, 61, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu, namun masih tiada tindakan pihak berwajib sehingga kini.

Sudah banyak kali diadukan dan mesyuarat bersama penduduk juga turut diadakan, namun jawapan yang sama diterima iaitu hanya janji palsu.

Bayangkan selama 10 tahun kami hidup dengan tekanan air yang rendah dan keadaan berlarutan ini benar-benar menyukarkan kami semua,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong berkata, masalah itu berpunca daripada pembangunan yang tidak dirancang dengan baik.

Apabila rumah banyak dan bekalan kurang, berlaku masalah tekanan air kerana penggunaan banyak berdasarkan peningkatan pengguna.

Masalah ini sudah diadukan kepada Sains namun janji yang diberikan di mana mahu meningkatkan tekanan air masih belum dilaksanakan sehingga ke hari ini,” katanya yang turut hadir lokasi berkenaan.

Beliau berasa kesal dengan pihak yang berkenaan seolah-olah tidak mengambil berat akan masalah itu sehingga berlarutan selama 10 tahun tanpa sebarang tindakan.

10 January 2010

Jambatan runtuh dapat perhatian ADUN Bahau



BATU KIKIR – Masalah jambatan runtuh yang berlaku di Kampung Kuala Sialang yang disiarkan Sinar Harian semalam mendapat reaksi daripada wakil rakyat kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong dalam tinjauannya semalam berkata, keadaan jambatan tersebut didapati serius dan sangat membimbangkan.

Menurutnya, beliau terkejut mengapa jambatan itu boleh terbiar begitu lama tanpa sebarang penyelenggaraan atau baik pulih daripada pihak berkuasa.

Sebagai wakil rakyat, beliau juga berasa kecewa kerana tidak dimaklumkan dengan lebih awal dan mungkin kerana itulah runtuhan tersebut masih lagi berada dalam keadaan sama lebih tiga bulan.

“Sebagai wakil rakyat, saya berasa kecewa kerana tiada sesiapa pun wakil dari kampung terbabit memaklumkan kepada saya mengenai hal ini.

“Walaupun saya merupakan wakil rakyat daripada parti pembangkang, tetapi hasrat saya tetap sama seperti wakil rakyat dari kerajaan, iaitu mendahulukan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Kok Seong, masalah berkenaan sudah pun diajukan kepada pihak bertanggungjawab dan tindakan segera akan diambil dalam masa terdekat ini.

“Saya telah membawa masalah ini ke pihak atasan dan menurut makluman diterima, pihak Pejabat Daerah sudah mengetahui masalah tersebut.

“Oleh yang demikian, saya menggesa agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera, sekurang-kurangnya meletakkan papan tanda amaran bagi memberi amaran kepada penduduk kampung,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Minta Kaji Semula Pelaksanaan Kunci Tayar



BAHAU – Tindakan Majlis Daerah Jempol (MDJL) yang akan mengambil tindakan mengunci tayar kepada mana-mana kenderaan yang tidak mempamerkan kupon letak kereta mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat.

Penduduk, Azizam Marjan ketika ditemui Sinar Harian semalam, melahirkan rasa kecewa dengan tindakan MDJL itu.

Menurutnya, tindakan tersebut dianggap sebagai sesuatu yang tidak wajar memandangkan jumlah kompaun yang dikenakan bagi membuka rantai tersebut adalah tinggi.

“Saya tidak bersetuju dengan pelaksanaan tersebut. Ia merupakan suatu penganiayaan kepada pemilik kenderaan terbabit.

“Malah jumlah kompaun sebanyak RM100 juga adalah sesuatu yang tidak berbaloi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah. Seharusnya, PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu mengkaji semula pelaksanaan tersebut dan meneliti masalah yang akan berbangkit kelak kerana ianya dianggap sebagai sesuatu yang tidak wajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong berkata, pihaknya sering mendapat aduan ketidakpuasan hati penduduk mengenai pelaksanaan tersebut.

Sehubungan itu, satu surat rayuan bagi mengkaji semula pelaksanaannya diberikan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Hasnul Mohamed pada bulan lalu.

Menurut surat berkenaan, pihak Majlis digesa mengkaji semula pelaksanaan terbabit atau menarik semula bagi mengelakkan masalah lain.

“Kita yakin disebabkan pelaksanaan ini, banyak masalah pasti akan timbul. Antara yang pasti akan wujud masalah pertelingkahan antara pemilik kenderaan dengan penguat kuasa MDJL kerana tidak puas hati.

“Selain itu, saya berpendapat tindakan mengunci kereta adalah satu tindakan yang tidak wajar. Bayangkanlah jika ada sesuatu kecemasan, bagaimana mereka mahu menggunakan kenderaan, sedangkan tayar mereka di rantai? Tidakkah itu akan mendatangkan masalah lain pula? Justeru saya menggesa MDJL meneliti pelaksanaan tersebut demi kepentingan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi surat balas daripada Hasnul, beliau menegaskan bahawa tindakan mengunci tayar merupakan sebahagian usaha memperkemaskan sistem letak kereta di Bandar Bahau.

Menurutnya, pemerhatian sepanjang tempoh setahun lalu mendapati majoriti pemilik kenderaan patuh kepada peraturan menggunakan kupon.

Bagaimanapun menurutnya, hanya mereka yang gagal akan dikenakan kompaun dan kumpulan tersebut melibatkan kenderaan sama, iaitu mereka yang kerap melakukan kesalahan berulang.

Beliau berkata, adalah menjadi tidak adil kepada mereka yang mengikut peraturan, sedangkan yang ingkar terlepas sewenang-wenangnya.

“Oleh sebab itu, pelaksanaan ini perlu diteruskan bagi mewujudkan sikap rasa tanggungjawab dalam kalangan semua pihak.

“Pentadbiran ini percaya, penduduk Bahau merupakan masyarakat yang cintakan kepada suasana bandar yang lebih teratur dan terkawal,” katanya melalui surat yang dibalas kepada Kok Seong, 5 Januari lalu.

Isu Pencemaran Udara di Mahsan


BAHAU – Kewujudan projek Small Renewal Energy Plant (SREP) di belakang kawasan perumahan dekat Mahsan di sini, menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan penduduk sekitar.

Projek yang telah beroperasi lebih setahun ini didakwa mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat dan yang paling ketara masalah pencemaran bau dan bunyi dikatakan kerap kali berlaku di situ.

Bukan sahaja di kalangan penduduk yang berdekatan, tetapi hampir semua penduduk di sekitar Bahau dapat menghidu bau busuk yang dipercayai mungkin dikeluarkan oleh kilang terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong, melahirkan rasa kecewa dengan masalah yang melanda penduduk di situ.

Beliau berkata, sejak projek berkenaan dijalankan banyak aduan yang diterima oleh pihaknya, malah ada di antara penduduk di taman terbabit terpaksa berpindah kerana tidak sanggup menanggung bau busuk yang keterlaluan.

“Saya kecewa dengan keadaan ini. Projek yang dilakukan oleh sebuah syarikat swasta ternyata memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.

“Pada dasarnya, saya bersetuju dengan langkah syarikat berkenaan, yang memproses semula sisa-sisa tanaman yang berlebihan untuk dijadikan tenaga, tetapi cara kerjanya sahaja yang tidak bersesuaian," katanya.

Menurutnya, cara syarikat itu yang membuat pembakaran ter:hadap sisa berkenaan dikhuatiri memberi kesan kepada penduduk, lebih-lebih lagi apabila sisa tanaman seperti kelapa sawit yang dibakarnya itu berada dalam keadaan basah.

“Apabila kelapa sawit itu basah, sudah pasti ianya akan mendatangkan bau busuk sehingga mampu menjejaskan udara di kawasan berkenaan,” katanya.

Kok Seong berkata, bukan sahaja bau, tetapi menjelang tengah malam, kilang tersebut akan mengeluarkan bunyi yang kuat sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat untuk tidur.

“Ini adalah sesuatu yang serius, bagaimana kilang tersebut boleh beroperasi pada waktu malam?

“Saya berpendapat, pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS), harus memainkan peranan dan memantau masalah berkenaan," katanya.

sumber: Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6344883.asp