18 May 2009

Memorandum DAPSY Kepada PM di Putra Jaya pada 18 Mei 2009


Saya bersama pimpinan DAPSY telah menyerah memorandum kepada Perdana Menteri pagi ini. Tetapi kami hanya mampu bertemu dengan penolong PM.

Kandungan memorandum Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) kepada Perdana Menteri yang diserahkan kepada penolong PM di Jabatan Perdana Menteri pagi ini:

PEMBERIAN BIASISWA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM KEPADA PELAJAR CEMERLANG

Terdapat ramai pelajar cemerlang SPM 2008 yang gagal mendapat tawaran biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara mahupun dalam negara pada tahun ini. Masalah ini yang telah menjadi satu isu tahunan di negara kita amatlah mendukacitakan kepada pelajar-pelajar cemerlang ini yang secara keseluruhannya mendapat 10A ke atas.

Isu ini sekiranya tidak diselesaikan dengan cepat dan berkesan akan memberikan impak negatif kepada falsafah “SATU MALAYSIA” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menampakkan bahawa kerajaan seolah-olah tidak menghargai modal insan yang cemerlang dalam negara kita.

Justeru itu, saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan seorang Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat Malaysia ingin menyeru kepada pihak PM untuk mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu ini seperti:

a) Kabinet pada Rabu ini perlu membuat satu ketetapan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh beberapa Menteri Kabinet untuk mengkaji semula dan mempertimbangkan setiap kes rayuan yang telah dikemukakan oleh pelajar cemerlang SPM 2008.

b) Kabinet perlu memastikan pelajar yang mendapat 10A1 ke atas mendapat pertimbangan yang sewajarnya dan sekiranya perlu kerajaan perlu menambahkan bilangan biasiswa luar negara JPA untuk tahun ini.

c) Kerajaan perlu membuat satu keputusan dasar untuk mengkaji semula keseluruhan sistem pemilihan penerima biasiswa JPA termasuk menubuhkan satu badan bebas untuk mengendalikan program biasiswa ini, kriteria-kriteria yang diambil kira, sistem temuduga dan setiap pemohon diberikan satu laporan yang lengkap samada mereka berjaya atau sebaliknya untuk memastikan ketelusan dalam keseluruhan proses pemilihan dan intergriti badan yang melaksanakan program ini berada pada tahap yang paling tinggi.

d) Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu membuat keputusan yang tegas dengan menghadkan setiap pelajar yang menduduki peperiksaan SPM untuk mengambil hanya 10 matapelajaran supaya semua pelajar dinilai dengan keputusan yang samarata dan tidak timbul masalah penilaian seperti mengapa yang mendapat 13A gagal berbanding dengan 9A  dan sebagainya.

Kami amat mengharapkan pihak PM akan menimbangkan beberapa cadangan ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap intergriti dan keadilan dasar-dasar kerajaan. Kami juga berharap PM akan memberikan perhatian peribadi ke atas perkara ini kerana ia melibatkan soal masa depan anak-anak muda kita bersama.

 

Loke Siew Fook

Ketua Pemuda Sosialis DAP