15 February 2011

Penternak Tuntut Pampasan FMD


BAHAU – Penternak lembu tenusu di Taman Jaya dekat sini kesal kerana masih belum menerima bayaran pampasan bagi haiwan ternakan mereka yang dijangkiti penyakit kuku dan mulut (FMD).

Penternak, K Tamil Silva, 37, berkata, sumber pendapatannya kini terjejas kerana lembu tenusu miliknya tidak dapat menghasilkan susu.

“Hati saya sangat susah dan tidak tenang melihat keadaan lembu yang menderita akibat FMD.

“Lebih malang lagi, sehingga kini, saya masih belum menerima pampasan yang dijanjikan pihak berkenaan,” katanya.

Sementara itu, penternak, R Magaswaran, 36, berkata, sebahagian besar lembu miliknya mati selepas dijangkiti penyakit berkenaan.

Malah, menurutnya, janin dalam seekor lembu betina miliknya turut menjadi korban serangan FMD sekitar kawasan berkenaan, baru-baru ini.

“Saya harap pampasan dibayar secepat mungkin untuk mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung penternak.

“Kami tiada punca pendapatan lain. Kehidupan keluarga kami amat bergantung kepada hasil jualan susu lembu,” katanya.

Keluhan penternak di Taman Jaya turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong.

Kok Seong berkata, serangan FMD di sekitar kawasan berkenaan dipercayai bermula pada 16 Disember lalu dan dibawa oleh lembu tenusu yang dibekalkan daripada sebuah agensi kerajaan.

Belia meminta pihak berkaitan diminta memberi perhatian serius dan bertindak pantas berhubung bayaran pampasan kepada penternak.

Sementara itu, Pengarah Vaterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham berkata, semua penternak tidak perlu bimbang kerana bayaran akan diberi pada tarikh yang akan ditetapkan.

Menurutnya, peruntukan bagi pampasan itu telah diluluskan dan bayaran akan disampaikan sendiri oleh Menteri Pertanian, Datuk Seri Noh Omar.