17 October 2011

Dakwa Hospital Cuai

BAHAU - Seorang warga emas terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan kaki palsu setelah dia dipercayai terjatuh dan tergelincir sehingga disahkan patah tangan kanan pada 27 September lalu.

Pada hari kejadian, mangsa, S Angayee, 81, sebelum itu sedang menjalani terapi akibat lumpuh di salah sebuah hospital kerajaan di negeri ini.

Anaknya, K Shamugam, 45, mendakwa pihak hospital berkenaan cuai sehingga menyebabkan ibunya mengalami kecederaan ketika menjalani terapi.

Menurutnya, itu adalah terapi pertama dijalankan ibunya di mana ketika kejadian, ibunya tidak ditemani atau dibantu mana-mana petugas yang bertanggungjawab, malah dibiarkan sendirian menjalani rawatan itu.

Saya kesal kerana petugas yang ada cuma memerhatikan sahaja ibu saya menjalankan terapi tanpa bantuan.

Kaki kiri ibu saya terpaksa dipotong setahun lalu akibat kencing manis yang dihidapinya. Sebelum ini dia hanya bergerak menggunakan kerusi roda dan kini tidak boleh bergerak sendiri setelah tangan kanannya patah,” katanya.

Shamugam berkata, walaupun pihak pengurusan telah memohon maaf atas kejadian yang tidak disengajakan dan akan berusaha memberi rawatan berkaitan, namun dia tetap kecewa atas sikap sambil lewa petugas di hospital berkenaan.

Kini pihak hospital cuba menukar fakta ibu sudah tua dan berkemungkinan pernah jatuh atau patah tangan sebelum ini.

Pihak berkenaan seolah-olah cuba mengelak dari punca kejadian sebenar,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Taman Jaya, Bahau semalam.

Sinar Harian difahamkan, anak mangsa telah membuat laporan berkenaan insiden itu di Balai Polis Bahau.

Hadir sama melawat mangsa di kediamannya, Adun Bahau, Teoh Kok Seong dan Adun Senawang, P Gunasekaran.

sumber: http://www.sinarharian.com.my/sh/mns/content/story9578205.asp