12 March 2010
Bunga Tanda Hargai Wanita
BAHAU – Sempena menyambut Hari Wanita yang lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong dan beberapa pemimpin DAP Bahau meraikannya dengan memberi sekuntum bunga kepada semua wanita yang berada di Pasar Besar.
Kok Seong berkata, pemberian bunga itu merupakan salah satu tanda penghargaan dan terima kasih beliau kepada wanita yang banyak membantunya selama ini, selain menyumbang kepada pembangunan negara.
“Wanita merupakan insan istimewa yang banyak berkorban, sama ada membantunya dalam hal-hal kepimpinan setempat, mahu pun bekerja secara tidak langsung menyokong kehadiran saya sebagai wakil rakyat.
“Kehadiran mereka merupakan sesuatu yang penting, kerana tanpa wanita sudah pasti dunia ini tidak mempunyai generasi,” katanya.
Beliau berkata, masyarakat haruslah memberi perhatian dan sokongan kepada wanita dalam apa jua keadaan selagi tidak salah di sisi undang-undang.
Menurutnya, sumbangan wanita terhadap negara amatlah besar dan tidak boleh dibayar dengan wang ringgit.
“Oleh itu, saya berharap wanita dapat dilayan dengan adil dan baik bagi menandakan mereka ini dihargai setiap masa.
“Semua masyarakat haruslah menghormati wanita tanpa berbelah bahagi,” katanya.
sumber: http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6913997.asp