02 June 2010

Tebang Hutan Punca Banjir Kilat






BAHAU – Hujan lebat selama lebih satu jam malam semalam menenggelamkan beberapa kawasan kediaman dan taman perumahan penduduk sehingga ke paras lutut.


Banjir kilat kali ini antara yang teruk pernah berlaku dan kawasan terlibat adalah Taman ACBE, Taman Satelite, Kampung Indah serta Kampung Batu Bakar.


Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong turun padang meninjau keadaan selepas menerima aduan daripada penduduk setempat.


Menurutnya, keadaan banjir kilat itu jarang berlaku di kawasan Bahau khususnya penempa-tan penduduk sekitar dan hal ini mungkin disebabkan penebangan hutan dilakukan secara besar-besaran.


“Banjir kilat ini adalah bencana dicipta manusia dan saya berasa kesal dengan pihak terbabit kerana memusnahkan kawasan tadahan air yang menyumbang kepada banjir kilat.

“Saya menyarankan supaya kerajaan membuat perancangan teratur sebelum melakukan sesuatu projek yang mampu menghapuskan alam sekitar dan kawasan tadahan air,” katanya.


Rata-rata penduduk yang terbabit tidak sempat menyelamatkan harta benda seperti tilam, perabot dan almari rumah.


Sementara itu, Kok Seong berkata, surat secara rasmi kepada Menteri Besar, Datuk Mohamad Hasan akan ditulis untuk memaklumkan mengenai bencana itu untuk diambil tindakan selanjutnya.


“Saya juga akan membawa isu ini ke sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang untuk mengetengahkan berhubung masalah ditanggung penduduk setempat,” katanya.


Source: http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story7754850.asp