06 July 2010

Stesen Bas Bahau Tiada Air



BAHAU - Stesen bas Bahau baru dinaiktarafkan tetapi ketiadaan bekalan air di tandas dan surau menyukarkan serta menyulitkan pekerja dan penumpang bas. Penguat kuasa stesen bas Bahau, Zailani Yazid berkata, selain tiada bekalan air, tahap kebersihan tandas dan surau juga tidak memuaskan. Menurutnya, pihaknya banyak kali membuat aduan kepada pihak berkenaan tetapi tiada tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah di stesen bas berkenaan. “Disebabkan tandas awam dan surau tiada bekalan air, penumpang serta pekerja di stesen bas terpaksa mengangkut air daripada satu pili air yang berada di depan tandas awam. “Selain itu, hanya ada satu tong sampah disediakan di stesen bas Bahau dan keadaan ini menyebabkan kotak besi telefon awam yang sudah tidak digunakan menjadi tempat membuang sampah,” katanya. Sementara itu, peniaga yang hanya mahu dikenali sebagai, Rima, 31, berkata, peniaga sekitar stesen bas berharap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera. “Peniaga berdepan kesukaran mahu membuang air dan mengambil wuduk. Selain terpaksa mengangkat air, kebersihan tandas dan surau juga tidak dikendalikan dengan baik. “Masalah ini sudah tentu memberi persepsi buruk kepada orang luar yang berkunjung ke pekan Bahau,” katanya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Bahau, Teo Kok Seong berkata, dia hairan kenapa stesen bas yang baru dinaiktarafkan itu mempunyai begitu banyak masalah. Menurutnya, pihak berkenaan harus bertindak memastikan tandas dan surau mempunyai bekalan air, selain aspek kebersihan haruslah dijaga dari semasa ke semasa. “Saya akan memaklumkan perkara ini kepada Majlis Daerah Jempol (MDJ) secara rasmi dan membawa isu ini ke Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang. “Saya mahu Kerajaan Negeri menjelaskan kepada rakyat kenapa begitu banyak peruntukan digunakan untuk menaik taraf stesen bas tetapi keadaan kemudahan dan bekalan air masih tidak memuaskan," katanya. Sementara itu Pegawai Daerah Jempol, Datuk Yusof Yunus berkata, beliau sudah sedia maklum dengan masalah berkenaan. Menurutnya, punca utama masalah air itu adalah berpunca daripada tekanan air rendah dan pihaknya akan mengajukan masalah itu kepada Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dalam masa terdekat bagi mengelakkan keadaan bertampah buruk.