09 February 2010

Sampah Binaan Cemar Imej Masjid

JEMPOL – Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa menjalankan segera pembersihan sampah binaan yang bertaburan di depan kawasan Masjid Al-Falah Taman Tunku Puan Chik, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong berkata, longgokan sampah binaan tersebut berlaku lebih dua bulan lalu, dan sehingga kini, tiada kerja-kerja pembersihan dilakukan.

Menurutnya, sampah binaan dipercayai ditinggalkan kontraktor yang tidak bertanggungjawab seharusnya dikenakan kompaun, kerana disebabkan longgokan sampah berkenaan, kawasan masjid tersebut kelihatan berselerak.

“Saya kesal dengan sikap segelintir kontraktor yang tidak bertanggungjawab membuang atau meninggalkan sampah binaan mereka merata-rata tempat, lebih-lebih lagi di depan masjid ini.

“Perkara ini tidak seharusnya berlaku, kerana disebabkan sampah itu, kawasan masjid kelihatan sangat kotor seperti tidak terurus. Padahal masjid merupakan rumah ibadat yang perlu dipelihara kebersihannya,” katanya.

Beliau mendesak PBT memainkan peranan dan bertanggungjawab membersihkan sampah binaan dengan segera supaya kawasan masjid berkenaan kelihatan bersih.

Kok Seong berkata, sepatutnya Majlis Daerah Jempol (MDJL) maklum dengan masalah berkenaan kerana longgokan sampah itu hanya berlaku di tepi jalan besar, bukannya di kawasan pedalaman.

“Longgokan sampah binaan itu bukanlah sedikit, tetapi sangat banyak. Mengapa mereka tidak mahu mengangkat sampah tersebut. Adakah mereka mahu menunggu kejadian buruk berlaku baru mahu mengambil tindakan?.

“Kita bimbang sekiranya kawasan itu di main oleh kanak-kanak di taman berkenaan, tidakkah ia akan mengundang bahaya kepada mereka?” Katanya.

http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6771059.asp