05 February 2010

Penduduk Kg Indah Bantah Bina Loji Kumbahan




JEMPOL – Kewujudan sebuah loji kumbahan yang kini masih dalam pembinaan mengundang kebimbangan penduduk kampung di sini.

Kebanyakan penduduk yang menetap di situ sejak berpuluh-puluh tahun khuatir loji berkenaan akan memberi kesan buruk kepada mereka.

Mereka mendakwa, loji kumbahan berkenaan dibina pihak pemaju perumahan untuk penduduk di sebuah taman perumahan, bagaimanapun lokasinya dikatakan tidak sesuai kerana dekat dengan penduduk kampung.

Berikutan rasa tidak puas hati itu, penduduk kampung berkenaan membuat aduan ke pejabat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bahau, di sini.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong berkata, sememangnya loji berkenaan sepatutnya dibina dalam kawasan perumahan dan bukannya di luar.

“Menjadi sesuatu yang tidak betul sekiranya loji olahan kumbahan ini dibina berdekatan dengan penduduk yang tinggal di sini. Ia seharusnya dibina di dalam taman itu, bukannya di luar iaitu di kawasan berhampiran rumah penduduk.

“Ini kerana hampir 30 keluarga yang ada di sini pasti akan menerima kesan akibat pembinaan loji berkenaan dan diyakini akan menyebabkan pencemaran udara, sekali gus menjejaskan udara persekitaran,” katanya.

Beliau difahamkan bahawa pihak berkenaan berjumpa penduduk kampung dengan tujuan mendapatkan persetujuan membina jalan, dari kampung tersebut ke dua taman perumahan, tetapi perkara sebaliknya berlaku.

“Jalan tidak disiapkan, tetapi pihak pemaju mendirikan sebuah loji olahan kumbahan sedalam kira-kira 20 meter berdekatan kampung ini.

“Penduduk tentu keliru dengan perkara ini dan minta pihak berkenaan memberi penjelasan konkrit,” katanya.