BAHAU – Beberapa penduduk di Taman Meranti menyuarakan perasaan tidak puas hati terhadap Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) berikutan masalah tekanan air yang dihadapi selama 10 tahun masih berlarutan sehingga kini.
Penduduk, Kee Kow Chai, 59, berkata, bekalan air yang dibekalkan di setiap rumah di taman tersebut amat rendah tekanannya.
“Apabila tekanan air rendah, bekalan air yang diterima menjadi kurang dan kelajuan air rendah. Keadaan ini amat menyukarkan penduduk apabila menggunakan air yang banyak ketika masa kemuncak.
“Contohnya ketika menggunakan air dalam satu masa seperti membasuh baju, mandi, dan membasuh kereta akan menyebabkan air yang diterima amat kurang," katanya.
Menurutnya, masalah itu berpunca daripada tekanan air yang rendah dan bukan masalah paip tersumbat atau sebagainya.
Penduduk Taman Meranti, Lai Fook Siong, 61, berkata, masalah itu sudah berlarutan sejak 10 tahun yang lalu, namun masih tiada tindakan pihak berwajib sehingga kini.
“Sudah banyak kali diadukan dan mesyuarat bersama penduduk juga turut diadakan, namun jawapan yang sama diterima iaitu hanya janji palsu.
“Bayangkan selama 10 tahun kami hidup dengan tekanan air yang rendah dan keadaan berlarutan ini benar-benar menyukarkan kami semua,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong berkata, masalah itu berpunca daripada pembangunan yang tidak dirancang dengan baik.
“Apabila rumah banyak dan bekalan kurang, berlaku masalah tekanan air kerana penggunaan banyak berdasarkan peningkatan pengguna.
“Masalah ini sudah diadukan kepada Sains namun janji yang diberikan di mana mahu meningkatkan tekanan air masih belum dilaksanakan sehingga ke hari ini,” katanya yang turut hadir lokasi berkenaan.
Beliau berasa kesal dengan pihak yang berkenaan seolah-olah tidak mengambil berat akan masalah itu sehingga berlarutan selama 10 tahun tanpa sebarang tindakan.