10 January 2010

Jambatan runtuh dapat perhatian ADUN Bahau



BATU KIKIR – Masalah jambatan runtuh yang berlaku di Kampung Kuala Sialang yang disiarkan Sinar Harian semalam mendapat reaksi daripada wakil rakyat kawasan terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong dalam tinjauannya semalam berkata, keadaan jambatan tersebut didapati serius dan sangat membimbangkan.

Menurutnya, beliau terkejut mengapa jambatan itu boleh terbiar begitu lama tanpa sebarang penyelenggaraan atau baik pulih daripada pihak berkuasa.

Sebagai wakil rakyat, beliau juga berasa kecewa kerana tidak dimaklumkan dengan lebih awal dan mungkin kerana itulah runtuhan tersebut masih lagi berada dalam keadaan sama lebih tiga bulan.

“Sebagai wakil rakyat, saya berasa kecewa kerana tiada sesiapa pun wakil dari kampung terbabit memaklumkan kepada saya mengenai hal ini.

“Walaupun saya merupakan wakil rakyat daripada parti pembangkang, tetapi hasrat saya tetap sama seperti wakil rakyat dari kerajaan, iaitu mendahulukan rakyat,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Kok Seong, masalah berkenaan sudah pun diajukan kepada pihak bertanggungjawab dan tindakan segera akan diambil dalam masa terdekat ini.

“Saya telah membawa masalah ini ke pihak atasan dan menurut makluman diterima, pihak Pejabat Daerah sudah mengetahui masalah tersebut.

“Oleh yang demikian, saya menggesa agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera, sekurang-kurangnya meletakkan papan tanda amaran bagi memberi amaran kepada penduduk kampung,” katanya.

Sumber: Sinar Harian