10 January 2010

Isu Pencemaran Udara di Mahsan


BAHAU – Kewujudan projek Small Renewal Energy Plant (SREP) di belakang kawasan perumahan dekat Mahsan di sini, menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan penduduk sekitar.

Projek yang telah beroperasi lebih setahun ini didakwa mendatangkan pelbagai masalah kepada penduduk setempat dan yang paling ketara masalah pencemaran bau dan bunyi dikatakan kerap kali berlaku di situ.

Bukan sahaja di kalangan penduduk yang berdekatan, tetapi hampir semua penduduk di sekitar Bahau dapat menghidu bau busuk yang dipercayai mungkin dikeluarkan oleh kilang terbabit.

Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong, melahirkan rasa kecewa dengan masalah yang melanda penduduk di situ.

Beliau berkata, sejak projek berkenaan dijalankan banyak aduan yang diterima oleh pihaknya, malah ada di antara penduduk di taman terbabit terpaksa berpindah kerana tidak sanggup menanggung bau busuk yang keterlaluan.

“Saya kecewa dengan keadaan ini. Projek yang dilakukan oleh sebuah syarikat swasta ternyata memberi kesan buruk kepada penduduk setempat.

“Pada dasarnya, saya bersetuju dengan langkah syarikat berkenaan, yang memproses semula sisa-sisa tanaman yang berlebihan untuk dijadikan tenaga, tetapi cara kerjanya sahaja yang tidak bersesuaian," katanya.

Menurutnya, cara syarikat itu yang membuat pembakaran ter:hadap sisa berkenaan dikhuatiri memberi kesan kepada penduduk, lebih-lebih lagi apabila sisa tanaman seperti kelapa sawit yang dibakarnya itu berada dalam keadaan basah.

“Apabila kelapa sawit itu basah, sudah pasti ianya akan mendatangkan bau busuk sehingga mampu menjejaskan udara di kawasan berkenaan,” katanya.

Kok Seong berkata, bukan sahaja bau, tetapi menjelang tengah malam, kilang tersebut akan mengeluarkan bunyi yang kuat sehingga mengganggu ketenteraman penduduk setempat untuk tidur.

“Ini adalah sesuatu yang serius, bagaimana kilang tersebut boleh beroperasi pada waktu malam?

“Saya berpendapat, pihak berkuasa, terutamanya Jabatan Alam Sekitar (JAS), harus memainkan peranan dan memantau masalah berkenaan," katanya.

sumber: Sinar Harian
http://www.sinarharian.com.my/mns/content/story6344883.asp