10 January 2010

Minta Kaji Semula Pelaksanaan Kunci Tayar



BAHAU – Tindakan Majlis Daerah Jempol (MDJL) yang akan mengambil tindakan mengunci tayar kepada mana-mana kenderaan yang tidak mempamerkan kupon letak kereta mendapat pelbagai reaksi daripada masyarakat setempat.

Penduduk, Azizam Marjan ketika ditemui Sinar Harian semalam, melahirkan rasa kecewa dengan tindakan MDJL itu.

Menurutnya, tindakan tersebut dianggap sebagai sesuatu yang tidak wajar memandangkan jumlah kompaun yang dikenakan bagi membuka rantai tersebut adalah tinggi.

“Saya tidak bersetuju dengan pelaksanaan tersebut. Ia merupakan suatu penganiayaan kepada pemilik kenderaan terbabit.

“Malah jumlah kompaun sebanyak RM100 juga adalah sesuatu yang tidak berbaloi, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berpendapatan rendah. Seharusnya, PBT (pihak berkuasa tempatan) perlu mengkaji semula pelaksanaan tersebut dan meneliti masalah yang akan berbangkit kelak kerana ianya dianggap sebagai sesuatu yang tidak wajar,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Bahau, Teo Kok Seong berkata, pihaknya sering mendapat aduan ketidakpuasan hati penduduk mengenai pelaksanaan tersebut.

Sehubungan itu, satu surat rayuan bagi mengkaji semula pelaksanaannya diberikan kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol, Hasnul Mohamed pada bulan lalu.

Menurut surat berkenaan, pihak Majlis digesa mengkaji semula pelaksanaan terbabit atau menarik semula bagi mengelakkan masalah lain.

“Kita yakin disebabkan pelaksanaan ini, banyak masalah pasti akan timbul. Antara yang pasti akan wujud masalah pertelingkahan antara pemilik kenderaan dengan penguat kuasa MDJL kerana tidak puas hati.

“Selain itu, saya berpendapat tindakan mengunci kereta adalah satu tindakan yang tidak wajar. Bayangkanlah jika ada sesuatu kecemasan, bagaimana mereka mahu menggunakan kenderaan, sedangkan tayar mereka di rantai? Tidakkah itu akan mendatangkan masalah lain pula? Justeru saya menggesa MDJL meneliti pelaksanaan tersebut demi kepentingan semua pihak,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi surat balas daripada Hasnul, beliau menegaskan bahawa tindakan mengunci tayar merupakan sebahagian usaha memperkemaskan sistem letak kereta di Bandar Bahau.

Menurutnya, pemerhatian sepanjang tempoh setahun lalu mendapati majoriti pemilik kenderaan patuh kepada peraturan menggunakan kupon.

Bagaimanapun menurutnya, hanya mereka yang gagal akan dikenakan kompaun dan kumpulan tersebut melibatkan kenderaan sama, iaitu mereka yang kerap melakukan kesalahan berulang.

Beliau berkata, adalah menjadi tidak adil kepada mereka yang mengikut peraturan, sedangkan yang ingkar terlepas sewenang-wenangnya.

“Oleh sebab itu, pelaksanaan ini perlu diteruskan bagi mewujudkan sikap rasa tanggungjawab dalam kalangan semua pihak.

“Pentadbiran ini percaya, penduduk Bahau merupakan masyarakat yang cintakan kepada suasana bandar yang lebih teratur dan terkawal,” katanya melalui surat yang dibalas kepada Kok Seong, 5 Januari lalu.