11 January 2011

FMD Jangkiti Lembu Tenusu di Taman Jaya Bahau



SEREMBAN - Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri mengesahkan sejumlah lembu tenusu di tiga ladang ternakan sekitar Jempol dan satu lagi di sekitar Port Dickson dijangkiti penyakit kuku dan mulut (FMD).

Pengarahnya, Datuk Dr Noor Soeraya Norsham berkata, tiada pusat ternakan di negeri ini diserang penyakit berkenaan.

"Semua lembu dijangkiti FMD telah disuntik vaksin oleh kakitangan JPV sebelum 1 Januari lalu.

"Suntikan vaksin tetap diteruskan kepada kes baru yang dikesan selepas tarikh berkenaan,” katanya, semalam.

Menurutnya, pemilik ternakan yang dijangkiti FMD daripada lembu tenusu dibekalkan JPV persekutuan akan diberi pampasan oleh Kementerian Pertanian.

"Penyelarasan bayaran pampasan kepada penternak terbabit akan diselaraskan JPV negeri," katanya.

Sementara itu, di Taman Jaya, Bahau dekat Jempol, penternak, M Segaran, 51, berkata, serangan FMD terhadap lembu tenusu miliknya kali pertama berlaku sejak mula menceburi bidang penternakan kira-kira 20 tahun lalu.

"Pampasan kerajaan amat diharapkan untuk membantu mengurangkan beban ditanggung penternak akibat jangkitan FMD.

"Kami perlu membelanjakan kira-kira RM200 bagi menampung kos pembelian antibiotik untuk setiap lima ekor lembu,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong berkata, beberapa penternak di sekitar Taman Jaya mula mengesyaki lembu tenusu milik mereka dijangkiti FMD pada 16 Disember lalu.

"Saya berharap agensi kerajaan berkaitan memastikan semua haiwan dibekalkan kepada penternak bebas daripada penyakit dan memastikan jangkitan ini tidak berulang,” katanya selepas melawat sebuah ladang ternakan bersama ADUN Senawang, P Gunasekaran di Taman Jaya, baru-baru ini.