17 January 2011

Turun Padang Langkah Terbaik


BAHAU - Kaedah turun padang adalah amalan terbaik untuk pemimpin mendengar masalah rakyat dan memastikan sebarang aduan yang diterima dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong berkata, semua aduan diterima akan cuba sedaya upaya untuk menyelesaikannya.

“Saya sering mengamalkan kaedah turun padang untuk meneliti masalah jika menerima aduan.

“Saya berani mengatakan kebanyakan aduan penduduk dapat diselesaikan. Kecuali aduan atau permintaan yang melibatkan peruntukan besar,” katanya.

Menurutnya, dia turut melahirkan rasa puas hati dan berterima kasih kepada pimpinan Pas dan Parti keadilan Rakyat (PKR) Jempol yang selama ini memberi kerjasama yang baik.

“Sebenarnya, masalah yang sering dihadapi penduduk lebih kepada kemudahan asas dan perkhidmatan disediakan pihak kerajaan. Ia terpulang kepada betapa berkesan tindakan mereka terhadap aduan.

“Bagi saya daripada pembangkang, saya akan terus memantau dasar yang dilaksanakan kerajaan dan memastikan setiap dasar atau tindakan benar-benar memberi manfaat kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, walaupun ADUN pembangkang tidak mempunyai pe-runtukan, tetapi tetap mampu berkhidmat dan membantu rakyat.

Dalam masa sama, dia turut menegaskan bahawa pihaknya telah lama bersedia menghadapi pilihan raya akan datang.

“Kita memang sudah lama dalam persediaan pilihan raya dan bukan melawat pasar atau pengundi ketika pilihan raya sahaja,” katanya.