21 May 2009

Kempen Tandatangan Di Taman Meranti Bahau




Pada 20 Mei 2009, saya dengan Kent, Setiausaha Politik saya telah melancarkan satu kempen tandatangan untuk mendesak Majlis Daerah jempol supaya mempercepatkan process penyenggaraan jalan di Jalan Meranti 27, Taman Meranti Bahau.

Kami berjaya mendapat tandatangan daripada 22 keluarga yang tinggal di situ. 22 keluarga ini adalah terdiri daripada  kaum Melayu, Cina dan India.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Ketua Unit Pengaduan Awam Encik Hasrul Faiz pada 12.30pm tadi.

Kandungan memorandum dan surat sokongan saya adalah seperti berikut:-

MEMORANDUM:

Perkara : Rayuan untuk Mempercepatkan Process Penyenggaraan Keadaan Jalan Terbenam Di Jalan Meranti 27, Taman Meranti Bahau

Tarikh : 20 Mei 2009

 Kami penduduk-penduduk di Jalan Meranti 27, Taman Meranti, Bahau dengan ini menyerah satu memorandum kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol sebagai rayuan kepada pihak tuan untuk mengambil langkah-langkah dengan serta-merta supaya mengelakan keadaan jalan terbenam bertambah buruk di kawasan tempat tinggal kami.

Masalah tersebut bukan sahaja membahayakan kami, tetapi juga bagi pengguna jalan yang lain.

Selain itu, kerosakan jalan tersebut adalah disebabkan oleh kelembutan tanah. Kami juga amat bimbang kelembutan tanah akan menyebabkan tapak rumah kami terbenam.

Dengan ini, kami meminta pihak tuan menghantar jurutera yang berpengalaman dalam segi ini untuk menyiasat dan memberi cadangan dan langkah-langkah bagaimana untuk mengatasi masalah jalan rosak dan terbenam.

Telah lama kami menghadapi kesukaran dan terseksa dengan masalah ini tetapi segala rungutan dan aduan tidak di beri perhatian dengan sewajarnya.

Segala kerjasama, perhatian, perihatin, jawapan serta tindakan daripada pihak tuan amatlah dihargai.

 

 SOKONGAN TERHADAP RAYUAN PENDUDUK DI JALAN MERANTI 27, TAMAN MERANTI, BAHAU

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

Untuk makluman pihak tuan, pihak saya telah membuat aduan sebanyak tiga kali kepada pihak tuan iaitu pada 20 April 2009, 4 Mei 2009, 19 Mei 2009 tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas dan tindakan selanjutnya diambil.

Dengan ini saya menyokong sepenuhnya bagi rayuan yang tertera atas dan saya mengharapkan pihak tuan dapat memberi kerjasama dan mengambil tindakan segera terhadap rayuan ini untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku di kalangan penduduk atau pengguna jalan.

Segala jasa dan keperihatinan daripada pihak tuan amatlah dihargai dan didahulukan dengan ribuan terima kasih.

 

Sekian.

 

Berkhidmat untuk rakyat,

YB TEO KOK SEONG

ADUN Kawasan Bahau