25 May 2009

BANTAHAN TERHADAP PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA OLEH PIHAK POLIS



Kami dari Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) telah menyerah satu Memorandum kepada  Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) hari ini. Kandungan memorandum adalah seperti berikut:-

Tan Sri Abu Talib Othman

Pengerusi

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia

Level 29, Menara Tun Razak

Jalan Raja Laut

50350 KUALA LUMPUR.


Yg Bhg Tan Sri,

BANTAHAN TERHADAP PENCABULAN HAK ASASI MANUSIA OLEH PIHAK POLIS 

Dengan segala hormatnya saya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2. Pihak Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) ingin menyurakan bantahan terhadap tindakan pihak polis baru-baru ini yang mencabul hak asasi manusia.

3. Sejak 5 haribulan Mei, bilangan tangkapan yang dibuat berkenaan dengan krisis Perak adalah sebanyak 146.

4. Tangkapan-tangkapan yang dibuat adalah amat sukar untuk dijustifikasikan. Mereka yang ditangkap langsung tidak mengancam keselamatan dan keamanan orang ramai.

Pada 5 Mei, aktivis dan ahli akademik, Wong Chin Huat telah ditangkap selepas menyeru rakyat Malaysia berpakaian hitam.

Pada 6 Mei, 14 orang individu termasuk seorang ahli parlimen ditangkap kerana menunjukkan solidariti kepada Wong di depan balai polis Brickfields.

Pada 6 Mei juga, 3 orang aktivis ditangkap kerana menghantar kek harijadi kepada Pejabat Perdana Menteri.

Pada 7 Mei, 69 orang individu termasuk ahli-ahli parlimen dan dewan undangan negeri telah ditangkap di Perak kerana berada di kawasan berhampiran dengan Dewan Undangan Negeri Perak di Ipoh.

Pada 7 Mei juga, 15 orang individu dan 5 peguam ditangkap kerana menunjukkan solidariti kepada Wong di depan balai polis Brickfields.

Pada 7 Mei juga, 11 orang individu termasuk seorang ahli dewan undangan negeri ditangkap di Kuching kerana mengadakan nyalaan lilin.

Pada 7 Mei juga, seorang aktivis ditangkap di Pulau Pinang semasa aktiviti nyalaan lilin.

Pada 19 Mei, 11 orang individu termasuk seorang ahli parlimen dan seoarang ahli dewan undangan negeri ditangkap semasa aktiviti nyalaan lilin di Seputeh.

Pada 21 Mei, 16 orang individu termasuk seorang ahli dewan undangan negeri ditangkap semasa merayakan hari jadi bagi seseorang daripadanya dalam aktiviti nyalaan lilin di Ampang.

5. Pihak kami meminta SUHAKAM membuat siasatan dalam kes-kes yang tersebut dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

 

Sekian. Terima kasih.

21 May 2009

Kempen Tandatangan Di Taman Meranti Bahau




Pada 20 Mei 2009, saya dengan Kent, Setiausaha Politik saya telah melancarkan satu kempen tandatangan untuk mendesak Majlis Daerah jempol supaya mempercepatkan process penyenggaraan jalan di Jalan Meranti 27, Taman Meranti Bahau.

Kami berjaya mendapat tandatangan daripada 22 keluarga yang tinggal di situ. 22 keluarga ini adalah terdiri daripada  kaum Melayu, Cina dan India.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Ketua Unit Pengaduan Awam Encik Hasrul Faiz pada 12.30pm tadi.

Kandungan memorandum dan surat sokongan saya adalah seperti berikut:-

MEMORANDUM:

Perkara : Rayuan untuk Mempercepatkan Process Penyenggaraan Keadaan Jalan Terbenam Di Jalan Meranti 27, Taman Meranti Bahau

Tarikh : 20 Mei 2009

 Kami penduduk-penduduk di Jalan Meranti 27, Taman Meranti, Bahau dengan ini menyerah satu memorandum kepada Yang Dipertua Majlis Daerah Jempol sebagai rayuan kepada pihak tuan untuk mengambil langkah-langkah dengan serta-merta supaya mengelakan keadaan jalan terbenam bertambah buruk di kawasan tempat tinggal kami.

Masalah tersebut bukan sahaja membahayakan kami, tetapi juga bagi pengguna jalan yang lain.

Selain itu, kerosakan jalan tersebut adalah disebabkan oleh kelembutan tanah. Kami juga amat bimbang kelembutan tanah akan menyebabkan tapak rumah kami terbenam.

Dengan ini, kami meminta pihak tuan menghantar jurutera yang berpengalaman dalam segi ini untuk menyiasat dan memberi cadangan dan langkah-langkah bagaimana untuk mengatasi masalah jalan rosak dan terbenam.

Telah lama kami menghadapi kesukaran dan terseksa dengan masalah ini tetapi segala rungutan dan aduan tidak di beri perhatian dengan sewajarnya.

Segala kerjasama, perhatian, perihatin, jawapan serta tindakan daripada pihak tuan amatlah dihargai.

 

 SOKONGAN TERHADAP RAYUAN PENDUDUK DI JALAN MERANTI 27, TAMAN MERANTI, BAHAU

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

Untuk makluman pihak tuan, pihak saya telah membuat aduan sebanyak tiga kali kepada pihak tuan iaitu pada 20 April 2009, 4 Mei 2009, 19 Mei 2009 tetapi sehingga kini tiada sebarang maklum balas dan tindakan selanjutnya diambil.

Dengan ini saya menyokong sepenuhnya bagi rayuan yang tertera atas dan saya mengharapkan pihak tuan dapat memberi kerjasama dan mengambil tindakan segera terhadap rayuan ini untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku di kalangan penduduk atau pengguna jalan.

Segala jasa dan keperihatinan daripada pihak tuan amatlah dihargai dan didahulukan dengan ribuan terima kasih.

 

Sekian.

 

Berkhidmat untuk rakyat,

YB TEO KOK SEONG

ADUN Kawasan Bahau

18 May 2009

Memorandum DAPSY Kepada PM di Putra Jaya pada 18 Mei 2009


Saya bersama pimpinan DAPSY telah menyerah memorandum kepada Perdana Menteri pagi ini. Tetapi kami hanya mampu bertemu dengan penolong PM.

Kandungan memorandum Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) kepada Perdana Menteri yang diserahkan kepada penolong PM di Jabatan Perdana Menteri pagi ini:

PEMBERIAN BIASISWA JABATAN PERKHIDMATAN AWAM KEPADA PELAJAR CEMERLANG

Terdapat ramai pelajar cemerlang SPM 2008 yang gagal mendapat tawaran biasiswa JPA untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara mahupun dalam negara pada tahun ini. Masalah ini yang telah menjadi satu isu tahunan di negara kita amatlah mendukacitakan kepada pelajar-pelajar cemerlang ini yang secara keseluruhannya mendapat 10A ke atas.

Isu ini sekiranya tidak diselesaikan dengan cepat dan berkesan akan memberikan impak negatif kepada falsafah “SATU MALAYSIA” yang dilaungkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menampakkan bahawa kerajaan seolah-olah tidak menghargai modal insan yang cemerlang dalam negara kita.

Justeru itu, saya selaku Ketua Pergerakan Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) dan seorang Ahli Parlimen yang mewakili suara rakyat Malaysia ingin menyeru kepada pihak PM untuk mengambil beberapa langkah untuk menyelesaikan isu ini seperti:

a) Kabinet pada Rabu ini perlu membuat satu ketetapan untuk menubuhkan satu jawatankuasa khas yang diwakili oleh beberapa Menteri Kabinet untuk mengkaji semula dan mempertimbangkan setiap kes rayuan yang telah dikemukakan oleh pelajar cemerlang SPM 2008.

b) Kabinet perlu memastikan pelajar yang mendapat 10A1 ke atas mendapat pertimbangan yang sewajarnya dan sekiranya perlu kerajaan perlu menambahkan bilangan biasiswa luar negara JPA untuk tahun ini.

c) Kerajaan perlu membuat satu keputusan dasar untuk mengkaji semula keseluruhan sistem pemilihan penerima biasiswa JPA termasuk menubuhkan satu badan bebas untuk mengendalikan program biasiswa ini, kriteria-kriteria yang diambil kira, sistem temuduga dan setiap pemohon diberikan satu laporan yang lengkap samada mereka berjaya atau sebaliknya untuk memastikan ketelusan dalam keseluruhan proses pemilihan dan intergriti badan yang melaksanakan program ini berada pada tahap yang paling tinggi.

d) Kerajaan melalui Kementerian Pelajaran perlu membuat keputusan yang tegas dengan menghadkan setiap pelajar yang menduduki peperiksaan SPM untuk mengambil hanya 10 matapelajaran supaya semua pelajar dinilai dengan keputusan yang samarata dan tidak timbul masalah penilaian seperti mengapa yang mendapat 13A gagal berbanding dengan 9A  dan sebagainya.

Kami amat mengharapkan pihak PM akan menimbangkan beberapa cadangan ini untuk mengembalikan keyakinan rakyat Malaysia terhadap intergriti dan keadilan dasar-dasar kerajaan. Kami juga berharap PM akan memberikan perhatian peribadi ke atas perkara ini kerana ia melibatkan soal masa depan anak-anak muda kita bersama.

 

Loke Siew Fook

Ketua Pemuda Sosialis DAP

13 May 2009

Sesi Dialog Bersama DAPSY Melaka pada 11 Mei 2009



Kita telah mengadakan satu sesi dialog bersama rakan-rakan seperjuangan kita dari Melaka.  Tujuan utama sesi dialog ini adalah untuk mengutip pandangan dan cadangan supaya kita dapat bergerak dengan lebih jauh.

07 May 2009

7 Mei 2009@Perak


Hari ini merupakan hari yang tergelap dan tidak akan dilupa oleh semua rakyat Malaysia. Saya telah diberkas oleh polis pagi ini. Alasan polis ialah kerana saya berbaju hitam. 

Selain itu, beberapa ADUN, pemimpin turut diberkas. Kita ditempatkan di Dewan Kem FRU Perak dan kita tidak dibenarkan keluar dari dewan tersebut oleh pihak polis dan juga FRU.

Saya dan YB Ng dilepaskan lebih kurang 3.30pm. Manakala Sdr Lee Kong Hing dilepaskan pada pukul 6pm.

YAB Lim Guan Eng telah turun ke Perak untuk memberi semangat kepada kita, agar kita dapat menuruskan perjuangan untuk kebaikan dan kemanfaatan Rakyat Malaysia.

Sudah tiba masa kita semua rakyat Malaysia bangun untuk menentang kezaliman BN yang sering mengguna kekuatan polis untuk mempertahankan kuasa mereka.

Sebagai rakyat, kita berhak berkumpul secara aman. Kita juga bertanggungjawab untuk mempertahankan sistem demokrasi di negera kita yang tercinta.

Tahniah kepada semua Pakatan Rakyat Perak kerana telah mempertahankan kuasa yang diamanahkan oleh rakyat Perak. Tidak lupa, tahniah kepada penyokong-penyokong Pakatan Rakyat yang menunjukkan sokongan padu kepada Pakatan Rakyat pada hari ini.

Keadaan Ketika Ditahan 7 Mei 2009





06 May 2009

Berbaju Hitam pada 7 Mei 2009

Saya kini berada di Ipoh Perak dan bersedia memberi sokongan kepada rakan seperjuangan kita dari  Pakatan Rakyat.

7 Mei 2009 amat penting dan bersejarah. Sama-sama kita berbaju hitam untuk menunjukkan sokongan kita terhadap Pakatan Rakyat dan mendesak BN kembalikan kuasa kepada rakyat di Perak!

01 May 2009

Majlis Makan Malam DAP Broga 30 April 2009



Tahniah kepada pimpinan DAP Broga kerana berjaya menganjurkan majlis makan malam. Kali pertama DAP Broga dapat mengadakan majlis malam sebanyak 99 meja dan majlis malam tersebut telah dihadiri oleh lebih kurang 1000 penyokong.
Sambutan yang hangat telah menunjukkan bahawa rakyat kini mahu berubah, rakyat mahu Pakatan Rakyat untuk meminpin negara kita!