29 December 2008

MEMORANDUM PERMOHONAN BANTUAN SEGERA TERHADAP SJKT LADANG ST. HELIER

30 Disember 2008


Pengarah
Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan
Jalan Dato’ Hamzah
70990 Seremban
Negeri Sembilan Darul Khusus


Tuan,

MEMORANDUM PERMOHONAN BANTUAN SEGERA TERHADAP SJKT LADANG ST. HELIER

Adalah saya dengan segala hormatnya merujuk kepada perkara yang tersebut di atas.

2. Saya mewakili ibu bapa pelajar SJKT Ladang St. Helier ingin memohon kepada pihak tuan supaya memberi bantuan yang segera kepada SJKT Ladang St. Helier untuk penyenggaraan kerosakan elektrik di sekolah tersebut.

3. Untuk makluman pihak tuan, JKR Jempol telah mengesahkan bahawa kerosakan elektrik di sekolah tersebut akan membahayakan guru dan pelajar selepas pemeriksaan dibuat pada 17 Disember 2008. Selain itu, Pejabat Pelajaran Daerah Jempol dan Jelebu telah memanjangkan permohonan penyenggaraan sekolah tersebut kepada pihak tuan pada 18 Januari 2008. Tetapi tiada maklum balas dan bantuan segera diberi sehingga sekarang.

4. Sebagai rakyat Malaysia yang prihatin dan pemimpin masyarakat, kami amat berharap pihak tuan dapat memberi bantuan segera kepada SJKT Ladang St. Helier kerana kerosakan elektrik yang dialami agak serius dan tindakan segera harus diambil untuk mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.

5. Kesudian pihak tuan mendengar pandangan kami adalah amat dialu-alukan dan dihargai. Keputusan positif daripada pihak tuan mengenai perkara ini amat diharapkan oleh semua. Pertimbangan yang sewajarnya oleh pihak tuan didahulukan dengan ucapan ribuan terima kasih.

Sekian dimaklumkan.


Berkhidmat untuk rakyat,



TEO KOK SEONG
Ahli Dewan Undangan Negeri
Kawasan Bahau
Negeri Sembilan Darul Khusus